Kehidupan kita secara beransur-ansur akan berubah. Masuk ke alam kerjaya. Ada keluarga dan anak-anak. Kenalan semakin meluas dan pelbagai ragamnya.Keperluan kewangan semakin meningkat. Tanggungjawab semakin berat. Semua pihak mula menuntut sesuatu dari kita; dari ibu bapa,anak-anak, suami atau isteri, majikan, , rakan-rakan, kenalan dan sebagainya. Usia pula semakin menua, sekali gus menjadikan jasad tidak selincah dulu.
Ujian dan Tekanan Sunnah Kehidupan
Hari-hari yang dilalui diharapkan semakin mudah, tetapi rupa-rupanya ia tidak berlaku sedemikian. Sebaliknya kita semakin susah. Terlalu banyak perkara di dalam kehidupan ini yang menguji dan menambah tekanan.
Sebelum ini kita mungkin tertekan dengan study dan exam. Rupa-rupanya alam kerjaya tanpa study dan exam jauh lebih berat dan lebih mencabar.
Sebelum ini kita mungkin tertekan kerana hidup seorang diri tanpa pasangan hidup. Rupa-rupanya alam rumahtangga menyelesaikan sebahagian masalah tetapi mengundang masalah lain yang lebih besar.
Semasa bergaji kecil, kita berasa tertekan lalu berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang lebih besar. Dapat pendapatan besar, lain pula bentuk tekanannya.
Inilah hakikat kehidupan. Kehidupan di dunia adalah ujian dan tekanan. Inilah kenyataan yang perlu diterima sebaiknya.
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).” (Al-Balad: 4)
Al-Hasan menafsirkan kesulitan dan kesukaran itu: “Kerana manusia akan menghadapi musibah di dunia dan kesulitan di akhirat.”
Hadapi dan Tinggikan Martabatmu di Sisi Allah
Kita berada di alamNya. Kepatuhan kepada Allah bererti kita mesti menerima peraturanNya.
“Dialah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat).” (Al-Mulk: 2)
Imam al-Mawardi menafsirkan ‘siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya’ sebagai ‘siapakah di kalangan kamu yang lebih redha terhadap ketentuan Allah dan lebih sabar terhadap ujianNya’.
Jangan sesekali menyalahkan takdir. Allah Maha Adil untuk menzalimi manusia.
“dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.” (Fussilat: 46)
Yakinlah bahawa segala yang berlaku adalah dengan takdir Allah. Allah mengkehendaki berlakunya kepayahan dan kesusahan di dalam hidup. Semua itu untuk mengangkat martabat manusia. Lebih tabah kita menghadapinya, lebih tinggi martabat kita di sisi Allah.
Kehidupan generasi awal membuktikan hakikat ini. Mereka diuji dengan pelbagai ujian dalam kehidupan.
Saidina Osman r.a. diuji dengan kematian satu demi satu isterinya (kedua-duanya adalah anak Rasulullah s.a.w.). Rasulullah s.a.w. memujuknya ketika beliau berada di kemuncak kesedihan pulang dari majlis pengkebumian: “Jika aku mempunyai yang ketiga (anak perempuan lain yang masih belum berkahwin) akan ku kahwini denganmu.” Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi anak perempuan lain dan Saidina Osman r.a. tabah menerima hakikat itu.
Saidina Omar r.a. diuji dengan kemarau dan wabak penyakit yang menimpa negara Islam selama bertahun-tahun. Kulit Saidina Omar r.a. yang asalnya berwarna putih kemerah-merahan bertukar gelap disebabkan kekurangan makan dan minum. Umat Islam ketika itu menangisi keadaan dan kesulitan yang dihadapi oleh Khalifah mereka tetapi Saidina Omar r.a. terus bertekad untuk menjadi manusia yang paling sedikit makan dan minum di kalangan umat Islam sepanjang krisis ini berlaku.
Kenapakah manusia yang berjasa kepada umat Islam juga diuji dengan ujian hidup? Kerana kecintaan Allah kepada mereka. Mereka menghadapi semua itu dengan tabah lalu Allah mengangkat martabat mereka di sisiNya. Kemudian mereka diuji lagi dengan ujian yang lebih besar, mereka menghadapinya dan martabat mereka akan semakin tinggi. Demikian pusingan kehidupan.
Begitulah Kita
Hadapilah ujian hari ini dengan tabah. Bersedialah untuk ujian seterusnya yang lebih besar. Jadilah orang yang kuat untuk menghabiskan baki kehidupan. Moga Allah menempatkan kita di kedudukan yang tinggi di akhirat kelak.
TIPS KOMITED DLM TAAT
Sheikh Tal'at Muhammad Shinawi, kini berusia dalam lingkungan 78/79 tahun. Mula aktif dlm kerja keabijan dan dakwah sejak umurnya 15 tahun. Sempat dengan pelbagai tribulasi dalam dakwah pada tahun 60-an, apabila Syed Qutb dan ramai lagi rakannya diseksa dan akhirnya digantung. Pernah dipenjara berulangkali oleh rejim pemerintah Mesir, dengan jumlah 18 tahun kesemuanya. Berjuang sehinggalah yang terkini, Semoga Allah memberkati hidup beliau, dan menjauhkan beliau dari sebarang fitnah dalam hidupnya sebagai seorang pendakwah.
Seorang pernah bertanya kepada beliau, "Bagaimana tuan mampu untuk komiteddi jalan dakwah?"
Dikisahkan, beliau senyap beberapa detik, kemudian memulakan jawapannya:-
• Yang pertama sekali, Tsabat(komited) ini, ialah daripada Allah s.w.t. Kita tidak ada kemampuan untuk memastikan kita Tsabat, melainkan Allah lah yang memilih siapa di kalangan manusia yang ingin dikekalkan di jalan dakwah ini. Maka, kita perlu berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, dan mengharapkan rahmat Allah s.w.t agar terus kekal dalam iman dan islam, serta kekal dalam dakwah ini.
• Sebaik-baik makhluk yang tsabat(komited) ialah Malaikat. Mereka ini (malaikat) tidak pernah gagal dalam kepatuhan kepada Allah s.w.t. Mereka sujud apabila disuruh, rukuk apabila disuruh, dan apa sahaja perintah Allah s.w.t, tidak mampu mereka ingkari, malah tidak sedikitpun terlalai dari apa sahaja suruhan Allah.
Bagi manusia, kita bukan Malaikat, namun ada darjat-darjat manusia yang Allah s.w.t letakkan, agar kita mengejarnya, dan menjadi sebaik-baik manusia. Ini ditandakan berulangkali dalam al-Quran, apabila Allah menandakan kecintaan dan kebersamaanNya kepada golongan-golongan tertentu dari kalangan manusia. Contohnya:-
ان الله مع الصابرين
(Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar)
ان الله لا يحب المسرفين
(Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang membazir)
Dan pelbagai lagi ayat seumpama ini, yang kita boleh lihat sendiri di dalam al-Quran. Maka inilah ciri-ciri manusia yang kita mesti mujahadah(bersungguh-sungguh) ke arah mencapainya. Kita berusaha dengan segigihnya untuk menerapkan nilai-nilai tersebut dalam diri kita. Dan ini semua adalah semata-mata untuk kita mendapatkan redha dan kecintaan Allah s.w.t, agar Dia memilih kita sebagai salah seorang yang kekal berjuang demiNya.
• Faham. Iaitu memahami apakah Dakwah,tujuannya, hakikatnya, tabiat jalannya, peringkatnya ,matlamatnya, cabaran yang akan datang, agar kita tahu dengan jelas apa yang kita sedang dan akan kita lakukan.
Ini cukup penting, kerana apabila tribulasi berlaku, kita akan tabah menghadapinya kerana kita telahpun memahami tujuan kita perlu menghadapinya, dan kita telah faham dengan jelas tujuan kita berdakwah. Mengetahui tabiat jalan ini dengan memahami sirah Rasulullah s.a.w dan para sahabat, meneliti apa yang telah mereka lakukan, cabaran yang mereka hadapi, kerana sunnah thoriq ini akan sentiasa sama seperti mana dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta mereka yang menyusuli.
• Akhir sekali, serahkanlah segalanya kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang hamba, kita beriman sepenuhnya dengan kalimah لا حول ولا قوة الا بالله. Maka berpegang teguhlah dengan maksudnya, dan lafazkannya dengan penuh perasaan. Lafazkannnya dengan penuh rasa rendah diri dan cukup mengharap kekuatan dari Allah s.w.t, meyakini bahawa tiada kekuatan yang datang kepada kita untuk menghadapi apa sahaja, melainkan ianya datang dari Allah s.w.t sendiri.
Itu sahajalah yang saya mampu kumpulkan. Semoga menjadi manfaat kepada mereka yang ingin berusaha menyebarkan risalah Islam kepada semua ummat manusia. Agar tiada lagi perhambaan sesama manusia, dan agar semua manusia merasai keadilan Islam, keindahannya, dan kemanisan hidup dalam praktik Islam yang hakiki.
Semoga Allah merahmati mereka yang sentiasa meletakkan Allah s.w.t sebagai matlamat akhir, tidak melencong sedikit pun dari itu, dan sentiasa mengharap cinta dan redha Allah s.w.t. Semoga Allah memberi petunjuk kepada semua pendakwah, agar mengembalikan segala strategi, matlamat, dan hala tuju perjuangan dakwah kepada Allah s.w.t sahaja.
Dipanjangkan oleh:
Zamri b Hashim
Ketua Penolong Mufti
Jabatan Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan
No comments:
Post a Comment