Lawatan Hati

FREE PALESTINE
FREE PALESTINE

Cetusan Hati

مفتح القلب

مفتح القلب

usul 20

11 November 2008

KHUTBAH JUMAAT 23/5/2008

NAKBAH PALESTIN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Sidang Jumaat yang dihormati
Pada hari Khamis 15/5/2008, 8 hari lalu , genap 60 tahun umat Islam belum dapat membebaskan bumi berkat Palestin dari penjajahan Yahudi. Ini sekaligus tanda yang jelas betapa umat Islam hari ini berada di dalam keadaan yang paling lemah dalam sejarah 1400 tahunnya yang panjang.
Penjajah British yang mula menawan Palestin pada tahun 1917, setelah membuat penghijrahan Yahudi secara terancang masuk membanjiri Palestin, akhirnya menyerahkan bumi Islam ini kepada pendatang Yahudi pada tahun 1947 dan tertubuhlah negara haram “Israel”. PBB mengiktiraf “Israel” pada tahun 1948. Peristiwa pedih bersejarah ini dikenali sebagai “AN-NAKBAH” bermakna malapetaka, berlaku pada 15/5/1948. Selepas itu bagi memastikan bilangan pendatang Yahudi mengatasi bilangan pribumi Palestin, pembunuhan dan pengusiran beramai-ramai dilakukan seperti tragedi Dier Yassin, Shabra Shatila dan banyak lagi. Hasilnya hari ini, 6 juta pelarian Palestin merempat di negara-negara jiran seperti Jordan, Lubnan, Syria dan di merata dunia termasuk negara-negara Barat.
Sudah jatuh ditimpa tangga, setelah menguatkan kedudukannya 20 tahun di Palestin sejak 1948, lalu pada tahun 1967 Israel menyerang dan menawan Bukit Golan milik Syria, Tebing Barat milik Jordan dan Gaza milik Mesir dan masih mencengkamnya sehingga ke hari ini. Berbagai sidang damai diadakan dari dulu hingga kini, namun isu Pelarian Palestin untuk kembali ke tanahair mereka, isu Golan, Tebing Barat dan Gaza sedikitpun tidak dihiraukan oleh Israel di satu pihak dan dilindungi oleh puluhan kuasa Veto oleh Amerika di Majlis Keamanan PBB, badan yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang dan resolusi antarabangsa. Dengan ini PBB sengaja dilumpuhkan oleh Veto Amerika bila berdepan dengan isu Israel menjajah Palestin.
Selepas 30 tahun penubuhannya untuk membebaskan Palestin, PLO akhirnya telah berdamai dan mengiktiraf “Israel” dalam Perjanjian Oslo 1993 tanpa mendapat apa-apa pulangan selain elaun bulanan dari Amerika dan Eropah. Umat Palestin beralih kepada HAMAS yang masih utuh dengan prinsip membebaskan Palestin dan tidak mengiktiraf “Israel”. Dalam Pilihanraya Umum Palestin 25/1/2006, HAMAS menang lalu Israel, Amerika, Eropah, banyak Negara-negara Arab dan Islam yang sememangnya mengikut arahan Barat mengadakan sekatan minyak, makanan, kewangan dan sebagainya terhadap 1.5 juta penduduk Gaza, Palestin hingga ke hari ini sebagai hukuman kerana memilih HAMAS untuk memimpin mereka dalam proses “Demokrasi” yang kononnya diperjuangkan oleh Barat.
Gaza, dengan keluasan 6km x 25km, hari ini bertukar dari sebuah bandar menjadi kem tahanan (Concentration Camp) terbesar Abad 21. Bekalan bahanapi dan makanan tidak dibenarkan masuk melalui sempadan 2 negara jiran, Israel (pemimpin beragama Yahudi) dan Mesir (pemimpin beragama Islam !!).
Dengan ini setelah 60 tahun merana dibawah kezaliman Yahudi, mereka juga turut perit disebabkan kebanyakan ketua negara-negara umat Islam tidak membantu kerana takut kepada Amerika dan Negara-negara Barat yang lain. Padah tali gantung di pagi Aidil Adha yang diterima Saddam Hussein masih menghantui ramai pemimpin negara umat Islam. Beliau pernah cuba mencabar Israel dan Amerika dengan melancarkan peluru berpandu Scudnya ke beberapa bandar di “Israel” pada tahun 1990.
Sidang Jumaat yang dihormati
Yahudi zionis berjaya membentuk negara Israel walaupun pemimpin mereka silih berganti .Dalam tempoh hanya 60 tahun mereka berjaya memencilkan negara-negara arab muslim yang melingkari negara mereka.Ternyata keupayaan mereka itu sering mereka kaitkan –entah benar atau tidak- dengan tebal iman mereka merealisasikan tuntutan kitab suci mereka dan janji-janji yang mereka dakwa termaktub dalam kitab-kitab mereka.Sesiapa pun yang memimpin negara Israel samada dari parti Likud ataupun Parti Buruh , apa juga dasar baru yang mereka perkenalkan , atau apa juga rancangan jangka pendek mereka ataupun jangka panjang mereka , ternyata semuanya bermatlamatkan satu tujuan iaitu menubuhkan Israel Raya.
Sidang Jumaat yang budiman,
Kewafatan Baginda SAW tidak bermakna Islam dan sistem kehidupannya termasuk sistem bernegaranya terkubur , sebaliknya kepimpinan Baginda SAW disambung silih berganti oleh Saidina Abu Bakar dengan karektornya yang tersendiri , diikuti Saidina Omar dengan keunikannya ,digantikan oleh Saidina Osman dengan gaya kepimpinannya yang tersendiri , kemudian digantikan oleh Saidina Ali dan begitulah seterusnya.Uniknya mereka masih mampu menjaga negara dengan baik kerana walaupun corak kepimpinan mereka berbeza , tetapi matlamat besar mereka serupa iaitu mereka memimpin rakyat dan negara untuk menjaga Islam , menjaga agama Allah SWT yang sama walaupun batang tubuh mereka berbeza.Yang sebenarnya mereka perjuangkan adalah Islam dan menjaga negara adalah hanya wasilah atau cara untuk menjaga agama seperti yang disebut oleh Mawardi
حراسة الدين وسياسة الدنيا به
Menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama
Mereka sangat memahami sempadan kuasa mereka ketika berkuasa iaitu mendaulatkan Islam .Maka rancangan jangka pendek atau panjang mereka bertujuan memperkasakan Islam, rancangan ekonomi mereka mereka juga untuk mempertegapkan agama sampai tahap kalau mereka berselisih pun , agama akan dijadikan hakim mereka .Firman Allah SWT :
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Sidang Jumat yang dikasihi,
Penyelesaian isu Penjajahan Keatas Palestin secara sangat ringkas adalah seperti berikut :
Marilah kita kembali menghayati Islam sepenuhnya, memenuhi masjid dan surau bersolat jemaah 5 waktu sehari, membenteras kelucahan dan maksiat yang mengotori persekitaran berupa majallah, rancangan TV, akhbar, mengutamakan balasan di Akhirat dari pulangan kebendaan segera di dunia. Sebab utama Yahudi Zionis dan Barat menguasai dunia adalah kerana umat Islam jauh dari hidup menghayati Islam yang hakiki.
Umat Islam kembali menghayati Islam yang syumul (menyeluruh) mencakupi kesatuan dan kepimpinan umat seluruh dunia, bukan terbatas kepada sempadan bangsa, geografi dan bahasa ke arah menegakkan kembali Khilafah Islam yang telah dilenyapkan Barat pada tahun 1924. Sebab utama umat Islam lemah di persada antarabangsa ialah kerana negara-negara mereka berpecah, tiap satu hanya lebih berfikir dalam ruang lingkup sempadan geografi yang dicipta Penjajah Barat sebelum merdeka. Kesannya agenda memertabatkan kembali Khilafah Islam Antarabangsa belum menjadi agenda dan buah mulut mana-mana dikalangan pemimpin mereka.
Marilah kita mula mendidik diri kita dan anak-anak kita serta generasi akan datang supaya meletakkan agama menjadi keutamaan yang diberikan harga mati-harga yang tidak boleh ditawar-tawar lagi , semoga satu masa nanti lahir di kalangan anak-anak kita , para pemimpin yang melihat isu keluar agama lebih berbahaya daripada keluar parti , para pemimpin yang melihat isu mengajak dan memberikan ruang kepada orang untuk keluar agama adalah lebih serius daripada mengajak orang keluar parti , para pemimpin yang sangat menggeruni laporan malaikat Raqib dan Atid daripada laporan suruhanjaya-suruhanjaya siasatan .Para pmimpin yang sanggup berundur demi agama seperti Khalid al Walid yang pernah diturunkan pangkatnya dari mengetuai tentera tetap tetap berjihad bersama-sama orang yang mengisi jawatannya , semuanya dilakukan demi membela agama.Para pemimpin yang menyanggupi amanah kepimpimpinan dengan penuh berat hati dan hati –hati seperti Khalifah Omar Abdul Aziz.
Masyarakat Islam yang saleh memilih pemimpin mereka dari kalangan orang-orang yang saleh, berkelayakan dan prihatin menyebarkan Islam ke pelusuk rantau dan dunia.
Negara-negara Islam dan Khilafah Islam yang bakal tegak nanti akan memimpin kekuatan umat ke arah pembebasan tanah bumi Islam yang dijajah dan seterusnya menyebarluaskan Dakwah Islam ke seluruh penjuru-penjuru dunia.
Dengan kepimpinan dunia dibawah Islam dan umat Islam yang saleh dan terdidik, seluruh umat di dunia, bahkan seluruh makhluk akan bahagia sejahtera di bawah naungan Islam, satu-satunya sistem Allah yang diredhaiNya.
. Kesemuanya berkisar kepada mendidik dan mewujudkan diri dan generasi Islam yang hakiki kearah menanggung beban Dakwah Islam yang berat dan panjang. “Jika ada di sana seorang yang saleh, kamu akan dapati pada dirinya faktor-faktor kejayaan Islam” [Hasan Al-Banna].
Moga umat Islam akan segera sedar dari lamunan mereka. Dihari umat terjaga dan bangkit, pastinya penderitaan umat Palestin selepas peristiwa An-Nakbah sehingga ke hari ini akan segera berakhir dan tidak berlaku di negara-negara umat Islam yang lain.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments: