Lawatan Hati

FREE PALESTINE
FREE PALESTINE

Cetusan Hati

مفتح القلب

مفتح القلب

usul 20

08 October 2009

Kewajiban mengundi dari perspektif Islam

Oleh : Abdul Ghani Samsudin

Allah berfirman dalam surah al Talaq ayat 2, yang
bermaksud: "Tegakkan (sempurnakan) kesaksian semata-mata kerana
Allah. Itulah yang disarankan sebagai pengajaran kepada kalian yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Sesiapa yang bertaqwa kepada
Allah nescaya Allah beri dia jalan keluar (dari segala kesusahan)."

Dalam Surah Al Nisa' ayat 135 Allah berfirman, maksudnya: "Wahai
orang-orang yang beriman, kamu hendaklah menjadi orang yang sentiasa
menegakkan keadilan serta menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran)
kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan
kaum kerabat kamu. Jika orang (yang didakwa itu) kaya atau miskin
maka Allah lebih utama dari (perhitungan) kaya atau miskin
(tersebut). Oleh itu janganlah kalian menurut hawa nafsu, kalian
wajar berlaku adil. Tapi kalau kalian menyimpang atau berpaling (dari
kebenaran) maka Allah sangat mengetahui apa yang kalian lakukan."

Dalam Surah al Baqarah, ayat 188, maksudnya: Jangan kamu makan harta
sesama kamu secara yang tidak halal dan kamu menghubungkannya pula
dengan kuasa dan sewenang pemerintah untuk dapat melahap harta umum
secara yang berdosa pada hal kamu sedar dan tahu.

Dalam Surah al Baqarah, ayat 283, maksudnya: Jika kamu dalam
perjalanan (lalu terlibat dalam hutang atau memberi hutang) tetapi
kamu tidak ada penulis (notaris penthabit hutang) maka adakanlah
barang gadaian untuk dipegang (oleh orang pemberi hutang). Tapi kalau
pemberi hutang percaya kepada yang berhutang maka hendaklah orang
yang berhutang menunaikan bayarannya (tunaikan amanah), namun dia
wajar bertaqwa (takut) kepada tuhannya. Janganlah kamu menyembunyikan
kesaksian (yang benar). Siapa yang menyembunyikan kesaksian (yang
benar) maka dia adalah manusia (berjiwa kotor dan) berdosa. Allah
amat mengetahui apa kalian lakukan.

Firman Allah dalam surah al Maidah ayat 8 yang bermaksud: "Wahai
orang-orang yang beriman , kamu (semua) hendaklah menjadi golongan
yang menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil.
Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap mana-mana kaum (golongan)
menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Kamu hendaklah adil (kepada
sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.
Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang
kamu lakukan."

Muslim meriwayatkan dari Anas Bin Malik katanya: Rasulullah pernah
menyebut mengenai dosa-dosa besar ( atau beliau ditanya tentang itu).
Baginda menjawab: (Dosa besar itu ialah ) syirik kepada Allah,
membunuh orang dan menderhaka kepada ibu bapa. Baginda berkata: Mahu
kah kalian aku beritahu dosa besar yang paling besar. Baginda
menjelaskan iaitu bercakap bohong )atau bersaksi dusta). Syu'bah
berpendapat: berat angkaan saya bahawa yang beliau maksudkan ialah
kesaksian palsu"

Menurut riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain baginda pernah
berkata: tiap orang dari kamu akan berhadapan dan tuhan akan bertutur
dengannya secara bersendirian tanpa penterjemah pada hari kiamat
kelak. Ia memandang kekanan maka ia dapati amalan kejahatan yang
telah dilakukannya, pandang ke kiri pun ia melihat gambaran yang sama
malah lebih teruk lagi. Ia pandang ke hadapan lalu ia melihat hanya
api neraka. Oleh itu kalian semua hendaklah menghindari api neraka
walaupun dengan (menyedekahkan) setengah ulas buah tamar ataupun
dengan menuturkan (apa-apa jua) perkataan yang baik.

Pendahuluan

Kuasa memerintah dicapai melalui berbagai cara. Ada yang diperolehi
melalui keturunan (sistem beraja penuh). Ada pula yang diperolehi
melalui rampasan kuasa samada berdarah atau tidak. Ada yang tercapai
melalui permuafakatan dan pilihanraya. Dalam bahasa agama disebut
syura , manakala dalam bahasa yang lumrah masa kini ialah
melalui "Intikhab " atau pungutan suara rakyat yang dilakukan dengan
amanah, bersih dan adil .Manakala sistem yang lumrah di terima kini –
dalam konteks peralihan kuasa secara aman kini - ialah sistem
demokrasi yang murni dan bersih.

Ada beberapa keperluan rakyat yang asas dalam negara demokrasi
antaranya ialah 1.

Hak-hak Madani atau sivil 2.

Sistem dan peraturan serta perlaksanaan pilihanraya yang adil 3.

Pengurusan kerajaan yang baik dan bersih dari rasuah 4.

Media yang beretika, profesional, adil dan memihak kepada rakyat 5.

Undang-undang yang adil dan perlaksanaanya yang tidak pilih kasih 6.

Penglibatan penuh rakyat dan sistem perwakilan yang sihat 7.

Kehakiman yang mempunyai integriti yang tinggi

Asas asas di atas dan beberapa pertimbangan seperti membenarkan
penubuhan parti politik secara halal , mewujudkan suruhanjaya
pilihanraya yang bebas, memberi peluang mengundi kepada orang yang
berkelayakan tanpa menghalang mereka menggunakan hak mereka dengan
alasan pentadbiran secara licik, mengadakan pilihanraya Kerajaan
Tempatan, mengadakan pilihanraya negeri (DUN) dan Federal (parlimen)
dan sebagainya adalah merupakan indikator wujudnya kebebasan dan
demokrasi dalam sesebuah negara.

Kendatipun tatacara yang baik sudah sepakati oleh manusia yang
bertamadun namun itu tidak bermakna manusia dapat menepati
tuntutannya. Sering berlaku penipuan, pencabulan dan penyalahgunaan
kuasa sehingga menghilangkan kebaikan dan ketenteraman yang boleh
dijana oleh sistem yang baik. Manusia yang tamak, korup. dan tidak
berakhlak terus menerus melakukan penyelewengan tanpa menyedari
akibat buruk dari perbuatan tersebut.

Di Malaysia umpamanya terdapat sistem , kaedah perlaksanaan, amalan
yang jelas bercanggah dengan lunas demokrasi diamalkan oleh parti
yang memerintah. Setakat hari ini belum ada tanda-tanda yang
menunjukkan bahwa penyelewengan dari garis demokrasi yang sah ini
akan diperbaiki oleh mereka . Antara pencabulan demokrasi yang terus
menerus berlaku di Malaysia kini ialah:

1 (a) Politik & Pilihan raya

SPR diletakkan dan bertanggungjawab kepada Perdana Menteri

Penukaran sempadan pilihanraya secara sewenang-wenang bagi
kepentingan pihak tertentu

Menukarkan syarat pendaftaran menurut kepentingan pihak tertentu

Menukar pengundi keluar dari kawasan mengundi dan memasukkan pengundi
ke kawasan lain tanpa pengetahuannya

Penambahan kerusi parlimen dan DUN bagi kepentingan politik tertentu

Daftar pemilih yang tidak bersih. Ada pengundi hantu

Menggunakan daftar pemilih yang berlainan

Berlakunya pengulangan mengundi bagi seorang individu lebih dari
sekali

Penyalinan no siri pengundi pada tunggul keratan kertas mengundi yang
membolehkan dikesan nama pengundi

Pejabat Pendaftaran Negara diperalatkan bagi menambah dan
mengurangkan pendaftaran di sesuatu kawasan menurut kepentingan BN.

Pengeluaran kad pengenalan sementara bagi pengundi-pengundi upahan

Memanipulasi pengundi-pengundi pos

Politik wang dan rasuah politik

Penambahan waktu mengundi – bercanggah dengan akta pilihanraya

Keputusan penghakiman petition pilihanraya yang tidak konsisten

Parti pemerintah menggunakan peralatan dan kemudahan kerajaan

Menyekat golongan tertentu yang sudah berkelayakan dari mengundi

Menggunakan samseng dan kaki pukul untuk menyekat dan menakutkan
pengundi

Menahan atau tidak menyerahkan borang 14 bagi tujuan penipuan
keputusan mengundi

Memonopoli segala media elektronik dan cetak

2.Pencabulan Hak Asasi

Malaysia tidak telus dan tiada kebebasan media. Global Freedom
Ranking of Freedom House pada tahun 2004 meletakkan Malaysia pada
ranking 122/167. Berkedudukan lebih teruk dari Indonesia 117/167.
2003 Malaysia mendahului Indonesia pada ranking 111/167.

New York City Based Think-Tank Freedom House 2005 meletakkan Malaysia
pada ranking 152/194 terkebelakang dari Phlippine (77), Thailand (95)
dan Singapura (139).

Wujudnya di Malaysia akta-akta ISA (1960), OSA – Akta Rahsia Rasmi
(1972), Akta Hasutan (1948), Akta AMCP –Akta Mesin Cetak Dan
Penerbitan (1984), AUKU (1971) dan AKU JANJI (2002).

PBB menghantar Pelapor Khasnya (Special Rapporteur) ke Malaysia
menyiasat tuduhan pencabulan hak kebebasan bersuara dari 20 hingga 24
Oktober 1998 dan berpendapat ``…hak kebebasan bersuara dan
mengeluarkan pendapat adalah terbatas daripada segi kewujudan akta-
akta ISA, Akta Hasutan, dan AMCP; kawalan pemilikan media arus
perdana dan memperolehi maklumat mengenai parti pembangkang di media
elektronik oleh parti pemerintah, `self-censorship` para wartawan,
menghukum wartawan asing dan menghalang pengedaran media elektronik
asing; menghalang rakyat memperolehi maklumat yang berupa pandangan
dan pendapat kritikal kepada kerajaan; serta memperlihatkan usaha
campur tangan kerajaan ke atas badan kehakiman (Commission On Human
Rights 1998: 7-8 dipetik Azizuddin Mohd Sani: 84-85).

International Bar Association (IBA), International Commission of
Jurists (CIJL), The Commonwealth Lawyers' Association (CLA) dan Union
Internationale des Avocats (UIA) yang menghantar misi pengkaji
perundangan Malaysia dari 17 hingga 27 April 1999 diketuai Lord
Abernethy menyiasat mengenai kebebasan kehakiman di Malaysia
mendapati Perlembagaan Persekutuan membatasi hak-hak yang penting dan
menafikan kajian semula kehakiman tindakan badan eksekutif dan
menggugat konsep pengasingan kuasa yang diamalkan. (Azizuddin Mohd
Sani: 85-86).

Report of `The Royal Commission to Enhance the Operation and
Management of The Royal Malaysia Police, mendapati bahawa: The
Commission's findings are that there is extensive and consistent
abuse of human rights in the implementation of these laws and
standing orders by PDRM personnel. This has added to the erosion of
integrity in the police service and further undermined the trust of
the public in this important institution ( Report of The Royal
Commission, 2005: 4)

Berbagai-bagai cara pencabulan Hak Asasi Manusia dilakukan oleh Polis
di bawah desakan parti-parti politik pemerintah seperti menyekat
permit untuk berceramah, walaupun diminta memohon, menyekat jalan-
jalan ke tempat ceramah, walaupun ceramah di dalam premis, memasuki
premis- premis yang sedang dalam sesi ceramah, walaupun polis tidak
berhak berbuat demikian, menggempur kawasan dan premis ceramah dengan
jip, trak, lori dan menembak gas dan air kimia, bahkan menangkap
mereka yang hadir ke ceramah.

Untuk menghadapi realiti politik Malaysia yang begitu buruk rakyat
dan parti-parti yang berperanan memperkasa demokrasi dan memulihkan
kedaulatan rakyat perlu menyebarkan kefahaman yang betul tentang
pilihanraya dari perspektif Islam. Ini kerana kita yakin bahawa
kefahaman dan komitmen keagamaan yang tinggi sahaja boleh menjana
kesedaran moral yang kukuh untuk mengatasi kelemahan batin dan jiwa
manusia yang kerap terjebak melakukan pengkhianatan dan penipuan
dalam mengurus pilihanraya dan memerintah negara. Lanjutan dari itu
kita perlu memperincikan tajuk di atas sehingga boleh mencetus
kesedaran yang tinggi di kalangan rakyat mengenai akauntabiliti,
responsibiliti dan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah dan tugas
mengundi. Pendek kata dalam mengundi rakyat perlu memilih calon yang
layak kerana mirit mereka dan bukan kerana wang dan janji habuan yang
ditaburi mereka.

Hakikat Mengundi

Ada beberapa pandangan yang ditampilkan oleh ulama mengenai kewajipan
mengundi ini.

(a) Ada yang mengatakan bahawa kewajipan mengundi ialah ialah suatu
syahadah atau kewajipan mengutarakan syahadah seperti yang disebut
oleh Allah dalam Surah al Talaq:2, Al Nisa' 135,, al Baqarah:283, al
Maidah:8. Ringkasan penghujahan mereka ialah: bahawa Allah telah
mewajibkan sesorang itu menampilkan kesaksiannya (syahadah) dengan
jujur dan benar. Allah melarang umat Islam menyembunyikan kesaksian
Allah berfirman:Al Baqarah 283, maksudnya: "Janganlah kalian
menyembunyikan syahadah, siapa yang menyembunyikan kesaksian maka ia
adalah manusia yang (hatinya) berdosa."

Penyembunyian syahadah tidak hanya dengan keengganan melaksanakan
syahadah tetapi juga dengan menafikan yang hak dan kebenaran dengan
tidak menyokong dan menonjolkan kebenaran itu; sebaliknya mendokong
dan menyokong kebatilan. Menyokong dan memenangkan kebatilan adalah
satu bentuk dari kejahatan menyembunyikan kebenaran. Perbuatan ini –
tidak ada khilaf ulama – hukumnya adalah haram dalam Islam.

Syahadah mesti dilaksanakan kerana Allah bukan kerana yang lain
seperti wang, pembangunan, kesenangan atau keuntungan kebendaan. Oleh
kerana pilihanraya dan mengundi dalam pilihanraya itu adalah satu
bentuk syahadah maka pertimbangan dalam membuat pilihan siapa yang
patut diundi itu mesti kerana Allah. Dengan lain-lain perkataan
sampai di mana calon atau parti yang diwakili oleh seseorang itu
memihak dan mahu melaksanakan perintah Allah. Sebab itu rasuah dalam
pengundian diharamkan dalam Islam justeru itu satu pembelotan dan
pengkhianatan terhadap Allah. Atau lebih jelas adalah kerana
perbuatan itu bermakna tidak bersyahadah kerana Allah; sebaliknya
kerana duit atau habuan kebendaan. Perbuatan seperti ini adalah
ditegah oleh syara'.

Rasulullah bersabda: "Allah mengutuk orang yang memberi dan menerima
rasuah" Hadith riwayat Ahmad , al Tabrani dan Abu Daud dan Termizi.
Ia mengatakan bahawa hadith itu adalah hadith Hasan. Dalam setengah
riwayat ditambah dengan ungkapan : .. "dan orang yang menjadi
perantara kepada pemberi dan penerima rasuah."

Larangan terhadap rasuah ini malah dirakam dalam kitab Taurat dalam
bab dua. Tersebut di situ : Janganlah kamu menerima rasuah; justeru
rasuah itu membutakan mata hakim dalam penghakiman mereka.

b) Kewajipan mengundi adalah unjuran dari kewajipan amr makruf dan
nahi anil munkar yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim. Ia suatu
jihad madani untuk mendokong kebenaran dan menumpaskan kebatilan.

Rasulullah bersabda: "Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat
kemungkaran ia hendaklah merubah (mencegahnya) dengan tangan(kuasa).
Kalau tidak berdaya maka dengan lisan."

Fatwa Islam online menegaskan: (Pengubahan dan pencegahan dengan
lisan tidak semestinya bermakna pengubahan dengan perbuatan. Ia
bermakna pengubahan dengan membuat teguran terhadap kemungkaran itu
sendiri. Salah satu mekanisme menegur kemungkaran ialah apabila
seorang ahli parlimen yang pandangannya lumrah diterima oleh orang
ramai menegur kemungkaran berkenaan bagi pihak rakyat di parlimen.
Teguran seperti itu tentu mudah diterima oleh orang ramai, di samping
akan disebar luaskan oleh media massa.)

c) Kewajipan mengundi adalah seumpama kewajipan mentazkiah atau
merekomenkan seseorang untuk memegang suatu jawatan dan tanggungjawab
penting dalam negara.

d) Kewajipan mengundi adalah kewajipan politik yang terbit dari sifat
seseorang sebagai rakyat yang wajib mengundi secara berkala untuk
menentukan kumpulan dan wakil pemerintah yang akan menguruskan negara
berasaskan perintah Allah.

e) Tugas mengundi adalah merupakan penunaian amanah untuk memberi
mandat kuasa kepada seseorang yang layak dan soleh untuk memerintah
dan menguruskan negara di lokaliti masing-masing.

Perawi hadith meriwayatkan: "Ketika Nabi sedang memberi bimbingan
(tazkirah) kepada orang ramai tiba-tiba datang seorang Arab Badui
bertanya: Bilakah kiamat? Tapi Rasulullah terus sahaja bercakap. Lalu
kata segolongan; beliau dengar tapi beliau tidak suka dengan soalan
itu. Segolongan yang lain pula berrpendapat ; beliau tidak dengar
pertanyaan itu. Sehinggalah apabila selesai tazkirah baginda
bertanya: siapa yang bertanya mengenai kiamat tadi. Orang itu
menjawab, sayalah wahai Rasulullah. Rasulullah menjawab: Apabila
disia-siakan amanah maka tunggulah kiamat. Orang itu bertanya pula:
Bagaimana yang dikatakan mensia-siakan amanah ? Bagina menjawab:
Apabila sesuatu itu diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan
maka tunggulah kiamat."

Menurut Dr. Walid Rabi' Mahaguru Syariah di Universiti Kuwait asas
syariah tanggungjawab mengundi ini berkisar sekitar dua teras
sahaja :

Pertama: Ia merupakan kesaksian dari pengundi tentan layaknya calon
yang diundi untuk melaksanakan amanah dan tanggongjawab memikul tugas-
tugas awam.

Kedua: Ia merupakan suatu rekomendasi "Tazkiah" pengundi untuk calon,
Rekomendasi adalah termasuk dalam persoalan pengadilan atau
kehakiman; di mana seseorang itu merekomenkan kelayakan seseorang
saksi di hadapan hakim. Para ulama fiqh menetapkan bahawa saksi yang
mendapat" tazkiah" sama dengan saksi pendakwaan dalam beberapa
perkara. Antaranya mereka perlu memiliki kewarasan akal yang
sempurna, kuat ingatan, mampu memikul tugas, adil, tidak buta, boleh
bertutur, tidak pernah kena hukuman hudud sepeti qazaf, tidak ada
pertalian kerabat yang menghalang penerimaan kesaksian di samping
kesaksiannya terlepas dari membawa kepenting diri kepada saksi itu
sendiri

Pendek kata keseluruhan huraian di atas adalah menjadi asas kepada
kewajiban mengundi dalam Islam. Umat tidak dapat lari dari memikul
tanggungjawab di dunia dan di akhirat apabila mengkhianati tugas dan
kewajiban mengundi sehingga menobatkan para pemimpin korup, sesat dan
tidak bermoral atau kredebiliti. Apatah lagi kalau mereka penuh
temberang, tembelang dan pasti akan kecundang di akhirat kelak.

Hukum menjual atau membeli undi

Ulama sepakat berpendapat haramnya perbuatan menjual atau membeli
undi dalam pilihanraya. Sebab ia adalah merupakan rasuah yang
diharamkan baik kepada pengambil atau penerima mahupun pemberinya,
bahkan penjadi orang tengah dalam kejahatan ini pun dilarang. Ia
termasuk dalam kategori penipuan atau pemalsuan serta pembohongan.
Justeru ia berbohong dan menipu orang lain. Ia mengaku layak menjadi
pemimpin dan menguasai orang ramai akan tetapi ia sebenarnya tidak
layak dan berhak dengan martabat tersebut. Membeli undi adalah suatu
pengkhianatan umum yang membawa kepada meratanya kejahatan dan
kemusnahan tanggungjawab, serta wasilah untuk memakan duit dan wang
haram. Walhal itu semua itu merupakan dosa besar. Ia juga seolah-olah
menyembunyikan kesaksian yang benar terhadap yang berhak; padahal
perbuatan tersebut dilarang oleh Allah.S.W.T Allah berfirman dalam
surah al-Baqarah, ayat 283 yang bermaksud: Jangan kamu sembunyikan
kesaksian (yang benar). Siapa yang berbuat demikian maka dia adalah
manusia berdosa.

Perbuatan ini juga termasuk dalam kategori kejahatan kezaliman ,
sebab ia "meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya". Apabila kejahatan
ini berleluasa maka akan berkembanglah amalan rasuah yang
memungkinkan manusia penyeleneh menduduki tempat-tempat kekuasaan
yang penting dalam masyarakat serta manusia terkutuk dapat
memperkotakkatikkan kepentingan umat.

Rasuah ialah pengajuan wang, benda, atau khidmat atau sebarang janji
untuk memberi sesuatu habuan kepada seseorang untuk menghalang proses
kebenaran atau usaha menumpaskan kebatilan. Ia adalah salah satu dosa
besar yang paling besar bahananya di dunia dan di akhirat;
berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 188, maksudnya:
Jangan kamu makan harta sesama kamu secara yang tidak halal dan kamu
menghubungkannya pula dengan kuasa dan wewenang pemerintah untuk
dapat melahap harta umum secara yang berdosa pada hal kamu sedar dan
tahu.

Berbagai Ragam Pembelian Undi

Sebenarnya bentuk dan cara membeli undi masa kini berbagai ragam. Ada
yang membeli dengan memberikan kepada pengundi tiket kapal terbang
untuk melancong secara langsung atau melalui pihak ketiga. Ada yang
memberi perabot rumah, motor, motokar, basikal, malah kadang-kadang
rumah murah, atau penginapan di hotel mewah dan sebagainya untuk
memancing dan memastikan pengundi mengundi diri mereka atau parti
mereka. Semua ini tergolong dalam kategori dosa besar.

Walau bagaimana pun pemberian ikhlas kerana sedekah, tanpa
menghubungkaitkan pemberian itu dengan kepentingan peribadi atau
kumpulan untuk meraih undi atau kepentingan yang lain maka hal itu
tidaklah terlarang dalam Islam. Allah maha mengetahui hakikat niat
dan tujuan sebenar sesuatu pemberian. Allah mengganjari sesuatu yang
dibuat kerananya.

Golongan yang terlanjur menerima rasuah atau habuan tertentu perlu
berpegang teguh kepada prinsip mengundi kerana Allah. Mereka tidak
sepatutnya mudah terpengaruh dengan muslihat pemberi rasuah
berkenaan. Mereka perlu setia kepada prinsip kebenaran, Islam dan
Allah S.W.T. Jika mereka teguh dan tetap mengundi kebenaran atau
pihak yang benar maka mereka tidaklah terlibat dalam apa yang
dipanggil sebagai politik wang atau rasuah dalam politik. Rezeki di
tangan Allah dan dari Allah. Manakala sumpah yang wajib dan wajar
dikota ialah sumpah yang benar atau demi menegakkan kebenaran dan
Islam. Al Quran tidak pernah menjadi kitab sumpahan untuk memenangkan
kebatilan, kejahatan atau kekufuran. Sumpahan al Quran dan laknat
Allah hanya mengenai pengkhianat dan penentang ajaran Islam yang
sebenar.

Penutup

Apa yang penting para pengundi, baik muslim mahupun bukan harus bijak
dan tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak yang tidak
bertanggungjawab yang boleh menghilangkan hak mereka mengundi pada
masanya atau memberi hak kepada orang lain untuk membuat pengundian
atas namanya tanpa sebarang rasa bersalah dan berdosa hanya kerana
sehelai kain atau beberapa ringgit wang imbuhan.

Ingatlah undi dan hak pengundian anda adalah amanah Allah dan rakyat
kepada anda. Anda wajib menunaikan amanah ini dengan sebaik-baiknya
dan demi Allah semata-mata. Allah Allah berfirman dalam Surah al
Taubah ayat 40, maksudnya: "Mengapa kalian tidak mahu menyokongnya
(perjuangan Muhammad atau perjuangan Islam ) pada hal Allah sendiri
telah menyokongnya ketika orang-orang kafir mengusirnya keluar (dari
kota Mekah) sehingga beliau menjadi salah seorang dari dua orang
(pelarian).(Ingatlah juga) ketika mereka berdua dalam gua dan dia
berkata kepada temannya; jangan bimbang, Allah bersama kita. (Justeru
itu ) Allah turunkan rasa tenteram dalam jiwanya, Allah bantu dia
dengan tentera yang mereka tidak nampak. (Malah) Allah jadikan dasar
perjuangan orang kafir hina dan rendah. (Sebaliknya) Allah julangkan
perjuangan atas nama Allah (Islam). Memang Allah maha perkasa maha
bijaksana."

No comments: